Kisah saya!

Alhamdulillah, Tahun 2010 sedang meneruskan perjalanannya seperti biasa...hari ni kita memasuki hari ke 7 di bulan Februari! Sekejap saja bukan semua ini berlalu, saya seperti biasa tahun nih masih terus menyimpan kalau bulan November 2009 anda telah mula mengikuti saya menyimpan sebanyak RM50.00 setiap bulan, maka pada bulan ini simpanan anda telah menambah sebanyak RM200.00! Wow, anda telah menjadi seorang penyimpan dan pekerja yang berjaya! Hehehe satu pujian untuk anda. Kita harus mengumpul kejayaan kecil ini untuk dijadikan aras pengukur supaya kita dapat menghasilkan kejayaan-kejayaan yang lebih besar lagi. Jika tahun 2009, anda sudah mampu menyimpan sebanyak RM50.00, apa kata bulan Mac nanti naikkan simpanan anda sebanyak 10% lagi iaitu RM55.00 anda berani? Satu lagi cabaran untuk anda selepas satu pujian sebentar tadi!

Hari ini saya tidak mahu berkongsi dengan anda cerita tentang kejayaan, kemenangan dan kemegahan. Hari ini saya mahu bercerita tentang pengalaman hidup saya sebelum saya menjadi seperti hari ini. Suka saya nyatakan di sini saya juga manusia biasa seperti anda, melakukan semua perkara-perkara yang biasa2 di dunia ini(saya masih menaiki motosikal ke tempat kerja). Saya pernah melalui zaman-zaman yang sangat menyeksakan, saya pernah diejek, disindir oleh rakan-rakan sendiri kerana sengkeknya saya. Sehingga adakalanya saya pernah menitiskan airmata kerana pelbagai dugaan yang terjadi kepada saya! Saya ingin tekankan sekali lagi "PERNAH MENITISKAN AIRMATA" tapi itu semua kerana perbuatan diri saya sendiri kerana saya tidak pernah merasa syukur atas apa yang telah dikurniakan

Mari kita mulakan di sini. Pada sekitar tahun 2006, saya pernah menyertai pelbagai pelaburan-pelaburan yang memberi pulangan setiap hari. Anda pernah mendengar EA index, Swisscash, GE index, Winlifund dan sebagainya, saya adalah salah seorang ejen mereka dan juga seorang pelabur! Saya sentiasa berjumpa teman-teman rapat saya untuk mengajak mereka menyertai saya di dalam 'bidang' ini. Ramai yang mengikuti saya, dengan ini saya mendapat pulangan yang banyak. Oleh yang demikian saya melakukan 'tugas' sebagai seorang ejen siang dan malam tanpa rasa penat dan letih sehingga saya mengabaikan kerja saya(tugas saya yang sebenar)! Ketika itu saya masih bekerja di sebuah kilang. Tetapi disebabkan pulangan sebagai seorang pekerja tidak seberapa sangat, saya mengabaikannya(kesilapan saya)! Akhirnya ketika saya sedang sibuk berbelanja dengan hasil yang saya dapat dan mengabaikan kerja saya.. Satu kejutan diberikan, semua skim ini dikatakan menipu pelabur dan sekadar mahu mendapatkan wang semata-mata.

Pada awalnya saya kurang mempercayainya, sehingga saya menyalahkan kerajaan kerana mengharamkannya. Tapi semua itu berubah apabila seminggu kemudian saya terkejut kerana tidak lagi dapat mengakses laman web tersebut, saya amat kesal. Sebegitu juga kejutannya, sebegitu juga tiba-tiba sahaja saya mula merasakan kehilangan sumber pendapatan saya kerana hampir 200.00 USD(memang tidak banyak kerana banyak yang telah dibelanjakan) di dalam akaun saya lesap! Sebegitu juga teman-teman saya kehilangan duit mereka di tangan saya....tapi sedikit pun tidak terniat di hati untuk membohongi mereka tapi apa boleh buat semua telah berlaku. Ada yang berkecil hati dengan saya, tapi saya juga manusia kadang-kadang melakukan kesilapan.

Akhirnya, seminggu itu di sekitar penghujung tahun 2006 dilalui dengan penyesalan yang amat2 sangat! Tuhan saja yang tahu... Saya memulakan langkah sekali lagi untuk kembali bekerja seperti biasa(sebelum ini saya sering datang lewat ke tempat kerja)! Saya mula memulakan hari2 saya dengan lebih baik walaupun masih berbaki kekesalan dihati. Tibalah hari gaji, waktu yang amat2 di tunggu oleh semua pekerja setiap bulan. Begitu juga saya, saya amat teruja untuk melihat gaji saya bulan itu kerana saya tidak lagi mempunyai pendapatan sampingan! Gaji bulan itu hanya RM650.00 sahaja setelah ditolak 11% KWSP = RM650.00 - RM71.50 = RM578.50, sebenarnya gaji pokok saya ialah RM750.00 tapi disebabkan selalu datang lewat gaji saya dipotong. Dengan RM578.50 ini saya terpaksa gunakan untuk membayar ansuran motosikal saya yang ketika itu ansurannya sebanyak RM115.00, bayar bil telefon lagi, bagi kat mak dan bapa lagi serta belanja harian.

Peningkan fikirkannya... saya juga begitu. Tetapi saya mampu juga laluinya, tapi semua itu saya lalui dengan sungguh perit! Sehingga ada suatu hari itu ketika rakan-rakan saya menikmati Roti Canai 2 keping dan Kopi O Panas di satu kedai mamak berdekatan Komplek Bukit Jambul, saya hanya boleh berkata kepada mamak yang ambil pesanan "Bagi air suam satu!". Tapi seperti biasa pasti ada yang memahami kesusahan kita. Begitu juga saya, masih ada yang layak dipanggil kawan masa susah dan senang. Terima kasih Nazri Abdul Rahim(NAR cukup terkenal di Penerbit USM). Dia dengan selamba mengatakan "Ang(Kau dalam bahasa Utara) order saja aku bayar!" tetapi saya menolak. Tapi dia terus dengan kenyataan awalnya tadi. Akhirnya dia yang membuat pesanan bagi pihak saya dengan persetujuan saya, Roti Sekeping dan Teh Panas! Itu bagi saya sangat2 mencukupi... walaupun peristiwa itu mungkin tidak memberi apa-apa kesan kepada orang lain tetapi saya amat terkesan dengan peristiwa itu. Dan peristiwa itu juga, telah menjadi titik tolak untuk saya berusaha lebih kuat lagi untuk menjadi lebih baik.

Semenjak hari itu saya mula bekerja dengan lebih baik, tapi ketika 2007 dunia sekali lagi mengalami krisis ekonomi. Begitu juga dengan kilang tempat saya bekerja, kilang tempat saya bertugas mula mengurangkan kos dan tidak menaikkan gaji. Bayaran gaji yang dibuat pun adakalanya lambat, biasanya pembayaran gaji dibuat pada 6 haribulan setiap bulan. Tapi penah satu bulan itu, bayaran gaji hanya dibuat selepas 10 hari bulan! Ramai yang berhenti kerja dan mencari kerja yang lain. Saya juga begitu ingin mencari kerja yang lain tapi apa boleh buat kemahiran yang saya ada cukup terhad! Sekali lagi NAR menjadi penyelamat(Superman) dia membawa saya berjumpa dengan En. Norazam Ariffin(Ketua Bahagian Pemasaran, Penerbit USM) untuk mendapatkan kerja sebagai Pembantu Penerbitan N17 (dalam skim Pekerja Khidmat Singkat).

Alhamdulillah,saya diterima(Terima Kasih En. Norazam Ariffin). Dari situlah saya bermula dengan baik. Saya mendapatkan ilmu yang seberapa banyak dari penggunaan Word, Excel dan sebagainya dan terus belajar tanpa henti!
Bagaimana saya boleh menjadi begitu komited?

Kerana untuk mengubah apa yang telah berlaku sebelum ini. Walaupun hanya sebagai Pekerja Khidmat Singkat iaitu pada bila2 masa sahaja khidmat saya boleh ditamatkan, tapi saya masih terus memberikan yang terbaik untuk memberitahu orang lain(majikan saya terutamanya) yang saya seorang yang terbaik dan mampu melakukan perkara yang terbaik dan pilihan yang dibuat untuk menggaji saya adalah keputusan yang tepat. Untuk pengetahuan anda, Penerbit USM adalah satu pusat penerbitan buku-buku yang ditulis oleh pensyarah-pensyarah USM. Jadi kerja saya seharian bersama buku-buku terbitan penerbit USM. Pada awalnya saya agak bosan dengan hari2 melihat buku-buku ini. Tapi bila saya mula menyedari bahawa saya dapat membaca pelbagai naskhah yang baik secara PERCUMA! Saya mula mengubah corak pemikiran saya. Akhirnya buku2 ini menjadi teman rapat saya. Saya tidak merasakan lagi bebanan kerja kerana saya merasakan buku2 ini sentiasa selari dengan minat saya(Jika ada masa terluang saya akan mengambil buku yang sesuai dengan minat saya untuk dijadikan bahan bacaan, akhirnya hari ini saya boleh menaip kata-kata yang baik ini untuk dibaca pula oleh anda). Walaupun agak keletihan selepas membuat kerja masukkan buku dalam kotak, balutkan kotak yang dipenuhi buku seterusnya menghantar ke pejabat pos berdekatan(kadang-kadang guna KTM) tapi tidak sedikit pun membuatkan saya rasa itu semua membebankan! Sebaliknya saya semakin mahir dalam membalut kotak yang berisi buku(Hehehe, kemahiran yang baru..).

Sudah tentu itulah rutin harian saya sehari demi sehari di Penerbit USM dan semakin lama semakin mahir. Pada pertengahan tahun 2008 saya ditawarkan untuk bekerja di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya sebagai Pegawai Imigresen. Saya agak keberatan meninggalkan Penerbit USM, kerana perjalanan menjadi seorang insan yang lebih baik bermula di sini! Tapi demi kehidupan yang lebih baik saya turutkan takdir yang telah ditetapkan untuk saya, dan saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang! Mungkin suatu hari lagi saya akan kembali ke sana. Siapa tahu kan?!

Itulah serba sedikit tentang diri saya. Saya juga manusia biasa seperti anda... tapi saya bersedia untuk berubah kepada kebaikan, sehingga hari ini apabila saya mengimbas kembali apa yang berlaku, saya hanya tersenyum dan menyatakan itu semua kenangan terindah untuk saya. Biarkan ia berlalu, teruskan usaha maju ke hadapan! Insyaallah saya dan anda akan berjaya...

2 komen:

  1. bkn senang nak jadi apa yg kita jadi skrg ni. so, keep up d gud work k!
    heboh buku ada lagi...sudi jadi DJ lagi?

    -MA-

    ReplyDelete
  2. Sudi sentiasa! Asalkan ada yang masih menerima.. dan menghargai. Thanks!

    ReplyDelete