Archive

Archive for April 2010

Petunjuk jalan kekayaan!

Hari ahad adalah hari yang paling seronok bagi ramai orang! Begitu juga saya, hari ni tak bekerja boleh rehatkan diri di rumah sambil melayan-layan rancangan di tv yang menjadi kegemaran, seronoknya!

Alhamdulillah hari ini juga saya telah menghabiskan buku yang kedua tulisan Dato' Dr. Rusly Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya Chef Li. Buku-buku ini seperti biasa saya pinjam dari rakan saya saudara Khairul Bashas(Terima kasih!). Buku kedua tulisan Chef Li ini berjudul Petunjuk Jalan Kekayaan.

Banyak persoalan tentang kehidupan dan perniagaan yang ditulis dalam buku ini, selain itu buku ini adalah penceritaan dari Chef Li sendiri bagaimana dia berubah dari Pemilik Pengusaha Kilang Burger yang gagal bertukar menjadi seorang penceramah dan pemilik Chef Li Training Centre (CLTF) yang berjaya melatih lebih ramai penjaja tepi jalan menjadi Jutawan Senyap! Banyak pengajaran yang saya dapat dari pembacaan buku ini. Buku ini memang patut dimiliki oleh semua orang yang mahu menambah motivasi diri dan bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan tetapi tiada haluan. Saya kongsikan sedikit petikan dari buku Petunjuk Jalan kekayaan ini.

Menurut Pak Kiai Muhidin(guru Chef Li yang berasal dari Indonesia) terdapat 4 jenis sungai perniagaan yang sentiasa mengalir dan tidak pernah surut iaitu:
  1. Perniagan Makanan
  2. Perniagaan ubatan dan kesihatan
  3. Perniagaan Pakaian
  4. Perniagaan Pendidikan
Tentulah keempat-empat jenis sungai perniagaan ini mempunyai pecahan dan cabangnya yang luas tapi pilihan yang perlu kita buat tentulah pilihan yang kita minat/suka/gemar dan pastinya perkara itu tentulah kita akan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Seterusnya pastinya semua ini akan menghasilkan pendapatan yang lumayan tapi tumpuan utama bukanlah duit! Habis tu apa? Nak tahu kena la beli buku Chef Li ni d:-) atau pinjam dari kawan-kawan yang telah beli! Baca dengan semangat ingin berubah.

Dapatkan keempat-empat buku tulisan Chef Li! Pastinya berbaloi-baloi.. saya sedang baru nak bermula bacaan dengan buku keempatnya berjudul Orang Kaya Bertaqwa!

Besar pacak dari tiang!

Tadi pukul 7.30 pagi sempat menonton rancangan Hujung Minggu Malaysia di TV1. Dok depan TV awal-awal pagi ni bukan apa just nak dengar tips-tips kewangan dari jutawan muda kita iaitu saudara Irfan Khairi. Tajuk perbincangan hari ini ialah Besar Pacak Dari Tiang, maksudnya kita berbelanja lebih dari pendapatan kita. Tentu anda pernah menghadapi masalah ni kan?

Dulu saya juga sering berbelanja lebih dari pendapatan saya, malah kekadang tu terpaksa berhutang dengan kawan-kawan kerana pada hujung2 bulan keputusan wang sebab pada awal-awal bulan dah terbelanja lebih wang gaji yang saya terima.Tapi sekarang alhamdulillah saya dah dapat kawal perbelanjaan saya. Menurut saudara Irfan Khairi antara sebab kita berbelanja lebih ialah kerana kita terperangkap dengan Parkinson's Law iaitu kita cendorong untuk berbelanja lebih apabila pendapatan kita meningkat jadi akhirnya tiada simpanan dapat dibuat ataupun dijimatkan. Jadi untuk berubah kita harus melawan arus Parkinson's Law ni.

Antara tips-tips untuk menentang Parkinson's Law ini ialah:
  1. Kita mesti ada matlamat kewangan. (Jika matlamat kita adalah untuk menyimpan akhirnya diri kita cendorong untuk menyimpan, begitu juga sebaliknya)

  2. Belanja ikut kemampuan.(Ukur baju badan sendiri!)

  3. Jangan suka ikut-ikut orang.(Belanja hanya ikut keperluan bukan kemahuan)

  4. Simpan 10% peratus dari pendapatan. (Kalau x mampu simpan sebanyak 10% ini mulakan dengan 1% dari pendapatan kita)

  5. Buat simpanan dengan perlahan-lahan tetapi konsisten.

  6. Elakkan berhutang menggunakan kad kredit.(Secara psikologinya kita akan berbelanja lebih dengan kad kredit kerana kita tidak nampak wang tunai ketika berbelanja)
Itulah antara tips-tips yang dikongsikan oleh saudara Irfan Khairi sebentar tadi dalam Rancangan Hujung Minggu Malaysia. Saudara Irfan Khairi menjadi tamu jemputan untuk rancangan tersebut yang bersiaran pada setiap Ahad 7.30 pagi, jadi jangan lupa saksikan saudara Irfan Khairi dengan pelbagai tips-tips kewangan setiap hari ahad 7.30 pagi!

Jangan lupa amalkan tips-tips yang telah dikongsikan bersama tadi ok!

p/s: Tukarkan kata-kata penguat seperti "saya perlu" kepada "saya mesti"!

Bagaimana Pengiraan Dividen ASB dibuat?

Seperti yang semua sedia maklum ASB adalah antara pelaburan yang kukuh di Malaysia yang dapat memberi pulangan yang cukup tinggi jika anda adalah salah seorang pelaburnya!

Tapi sebagai seorang pelabur di ASB adakah anda tahu bagaimana dividen ASB dikira? Disini saya akan menunjukkan bagaimana dividen ASB dikira iaitu dengan mengambil contoh kadar dividen yang telah diberikan pada tahun 2009. Pada tahun 2009 Amanah Saham Nasional Bhd telah mengumumkan untuk meberi dividen sebanyak 7.30% bagi semua pelaburnya. Tapi untuk memudahkan pengiraannya saya bundarkan kepada 7% sahaja d:-)!

Untuk makluman, kaedah pengiraan dividen ASNB adalah berdasarkan kepada baki terendah setiap bulan seterusnya didarabkan dengan kadar dividen yang diisytiharkan oleh ASNB dan dibahagikan berapa bulan kita mencarum.

Mari mulakan pengiraannya:

Ogos

- Masukkan RM500.00
- Keluarkan RM100.00
- Masukkan RM100.00
Baki Minimum: RM400.00

Walaupun anda sudah masukkan RM400, tetapi oleh kerana ada pengeluaran pada bulan tersebut, baki minimum yang dikira ialah RM400.00, bukannya RM500.00 walaupun selepas itu RM100 dimasukkan semula.

September

- Baki dari bulan Ogos RM500.00
- Masukkan RM300.00
Baki Minimum: RM500.00

Meskipun RM300 telah dimasukkan tetapi RM500 adalah baki minimum pada bulan berkenaan. Jadi baki minimum yang diambilkira ialah RM500.00, bukannya RM800.00

Oktober

- Baki dari bulan Ogos RM800.00
- Masukkan RM200.00
Baki Minimum: RM800.00

Meskipun RM200 telah dimasukkan tetapi RM800 adalah baki minimum pada bulan berkenaan. Jadi baki minimum yang diambilkira ialah RM800.00, bukannya RM1,000.00

November

- Baki dari bulan Oktober RM1,000.00
- Tiada kemasukan pelaburan baru
- Jadi baki minimum yang diambilkira ialah RM1,000.00
- Baki kekal sehingga ke hujung tahun

Jadi pengiraannya ialah RM400 (Ogos) + RM500 (Sept) + RM800 (Okt) + RM1,000 (Nov) + RM1,000.00 (Dis)
= RM3,700 / 12 bulan X 0.07 (kadar dividen 7%)
= RM21.58

Pengiraan secara manual ini memang nampak agak rumit tapi di ASNB mereka telah mempunyai sistem berkomputer yang boleh mengira dividen itu secara automatik. Walaupun mudah dipihak ASNB tapi sebagai pelabur kita perlu tahu bagaimana pengiraan ini dibuat d:-).

Catatkan perbelanjaan harian ANDA...

Sempat juga kemaskini walaupun sibuk dengan tugas harian! Pernah tak anda menghadapi situasi begini bila tengah bulan:
Alamak duit tak ada la, kemana aku belanja kan?
ataupun
Aku rasa bulan ni aku tak beli apa-apa pun tapi kemana wang aku pergi?
Hah.. tentu pernahkan? Saya juga sering menghadapi masalah itu dulu, tapi tidak sekarang! Sejak mempraktikkan teknik mencatatkan sebarang perbelanjaan harian saya, saya dapat mengawal perbelanjaan harian saya.

Tentu ada yang bertanya bagaimana nak mulakan, betul tak? Ok, mulai malam esok ambil sedikit masa(lebih kurang 15 minit) pada sebelah malamnya untuk mencatatkan segala perbelanjaan yang anda telah buat pada siang hari di atas sekeping kertas.. Seterusnya lakukan pada setiap hari, pada akhirnya anda akan dapat melihat ke mana wang anda dialirkan semasa anda menghadapi kekurangan wang pada pertengahan bulan nanti. Jadi anda tidak akan tertanya-tanya lagi seperti ibu kehilangan anaknya d:-)!

Mudahkan! Seterusnya apabila anda sudah mempunyai rekod perbelanjaan harian, untuk gaji anda pada bulan seterusnya anda perlu merancang perbelanjaan anda agar anda tidak terputus wang di pertengahan bulan! Tips pengurusan kewangan ini memang sangat efektif, saya dah amalkan sekarang giliran anda pula.

Tentu anda pernah dengar ungkapan ini “Orang yang gagal untuk merancang adalah orang yang merancang untuk gagal!”

Jika perbelanjaan harian anda ialah RM10.00 sehari! Esok simpan 10% dari perbelanjaan harian anda di dalam tabung(belanjakan RM9 sahaja! Ada berani?).

4 Tahap Kekayaan!

Alhamdulillah! Sekejap sahaja masa berlalu, hari ini kita sudah berada di bulan April 2010. Semua kenangan manis dan pahit selama 3 bulan sebelum ini telah kita tinggalkan nun di sana menjadi kenangan terindah! Banyak aktiviti menarik berlangsung sepanjang bulan Mac 2010. Antaranya Pesta Buku Antarabangsa 2010, saya sempat mengunjungi pesta buku kali ini di PWTC sebanyak 2 kali, dan sempat juga bertemu dengan idola pengurusan kewangan saya iaitu penulis terkenal buku best seller Jutawan Dari Planet Jupiter! saudara Azizi Ali. Sempat jugalah bertanya dengan beliau beberapa soalan tentang pengurusan kewangan. Ternyata beliau seorang yang ramah dan mudah diajar berbual tetapi topik perbincangan tentulah berkisarkan tentang kewangan barulah mencabar!

Azizi Ali & SayaMelihat dari pemakaian saudara Azizi Ali jelas dirinya adalah seperti yang ditulis dalam bukunya, iaitu seorang yang hidup dibawah kemampuan sebenar. Sebagai seorang jutawan saya berpendapat tentulah dia harus selalu kelihatan mengenakan pakaian Versace atau Fred Lenzo tidak pun tentulah pakaian itu jenamanya gah di dalam arus fesyen terkini tetapi beliau sebaliknya, dia memakai jean biasa, bersama kemeja Polo yang boleh kita dapatkan apabila sales Jusco setiap 3 bulan. Jelas sekali menyatakan bahawa itulah Azizi Ali sebenar jutawan yang hidup dibawah kemampuan yang sebenar!

Dari perbualan antara kami berdua, beliau menceritakan beliau sendiri pernah kerugian hampir RM100,000.00 dalam perniagaan. Tetapi semenjak hari itu dia bertekad untuk belajar selok-belok pengurusan kewangan yang betul akhirnya dia menjadi seorang jutawan pada hari ini... walaupun niat pada awalnya adalah untuk sekadar belajar menguruskan kewangan sahaja. Katanya lagi, lakukan apa yang kita suka, minat, dan perkara yang kita gemari dan pastinya yang lain akan mengikutinya(yang lain itu termasuklah wang!) Saya juga sempat membeli buku tulisan keduanya berjudul Lahirnya Seorang Jutawan! Saya juga telah mengkhatamkan buku ini d:-) cukup menarik dan berbaloi untuk dimiliki.

Bulan Mac ini juga saya telah mengeluarkan bajet yang agak lebih sedikit untuk membeli 2 buah buku sekaligus. Buku pertama adalah buku tulisan Azizi Ali dan buku kedua ialah tulisan Adam Khoo seorang jutawan dari Singapura. Buku ini juga cukup menarik untuk dimiliki tetapi setakat hari ini saya masih tidak dapat menghabiskan buku setebal 499 halaman ini. Tetapi tips-tips yang ditulis di dalam buku cukup berguna untuk dijadikan panduan menjadi seorang jutawan selari dengan tajuk buku tersebut Bagaimana Saya Boleh Menjadi Jutawan.

Baik, mari kita lihat Empat Tahap Kekayaan yang dikelaskan oleh Adam Khoo:

Tahap 1: Kestabilan Kewangan
Anda dikatakan mencapai kestabilan kewangan apabila anda mengumpulkan aset bersih yang mencukupi bagi menyara kehidupan kita selama paling kurang enam bulan dan anda juga telah mempunyai insuran nyawa dan insuran kesihatan bagi melindungi diri dan keluarga terutamanya apabila berlaku kemalangan atau masalah kesihatan yang menyebabkan anda tidak mampu berkerja.

Tahap 2: Jaminan Kewangan
Anda dikatakan mencapai tahap ini apabila anda melabur masa, duit dan idea, serta mengumpul sejumlah Harta Aliran Tunai Positif(Deposit Tetap, BON, KWSP, Saham, Unit Amanah dan seumpamanya) yang dapat menghasilkan pendapatan pasif yang cukup bagi membiayai perbelanjaan yang PALING ASAS. Paling asas disini ialah anda dapat membayar pinjaman rumah, pembayaran bil-bil, perbelanjaan pengangkutan awam, makanan, pembayaran premium insuran dan dapat membayar faedah pinjaman yang telah anda buat hanya menggunakan semata-mata dari pendapat pasif anda.

Tahap 3: Kebebasan Kewangan
Anda pernah mendengar ungkapan ini, saya juga teruja setiap kali mendengarkan ungkapan ini. Anda dikatakan berada ditahap ini apabila anda melabur masa, duit dan idea, serta mengumpul sejumlah Harta Aliran Tunai Positif(Deposit Tetap, BON, KWSP, Saham, Unit Amanah dan seumpamanya) yang dapat menghasilkan pendapatan pasif yang mencukupi bagi membiayai cara hidup yang anda lalui sekarang. Pada tahap ini anda boleh memilih untuk berhenti bekerja tetapi masih boleh mengekalkan cara hidup anda sekarang bagi tempoh yang tidak terhad. Tetapi selalunya mereka yang berada di tahap ini tidak akan berhenti kerja sebaliknya mereka akan terus bekerja dan mencapai tahap seterusnya.

Tahap 4: Kekayaan yang Melimpah-ruah
Ini adalah tahap yang tertinggi sekali idaman semua orang. Anda dikatakan mencapai tahap ini apabila anda melabur masa, duit dan idea, serta mengumpul sejumlah Harta Aliran Tunai Positif(Deposit Tetap, BON, KWSP, Saham, Unit Amanah dan seumpamanya) yang dapat menghasilkan pendapatan pasif yang mencukupi bagi membiayai cara hidup yang anda idam-idamkan. Ukuran untuk tahap kekayaan ini ialah anda mempunyai kira-kira RM50,000.00 untuk dibelanjakan setiap bulan. Diulangi sekali lagi SETIAP BULAN!

Itulah serba sedikit tentang tahap-tahap kekayaan yang dikelaskan oleh Adam Khoo. Mengikut perkiraan anda, mana satu pilihan tahap kekayaan anda?! Bagi saya cukup la saya berusaha untuk berada di tahap 3. Anda?