4 Tahap Kekayaan!

Alhamdulillah! Sekejap sahaja masa berlalu, hari ini kita sudah berada di bulan April 2010. Semua kenangan manis dan pahit selama 3 bulan sebelum ini telah kita tinggalkan nun di sana menjadi kenangan terindah! Banyak aktiviti menarik berlangsung sepanjang bulan Mac 2010. Antaranya Pesta Buku Antarabangsa 2010, saya sempat mengunjungi pesta buku kali ini di PWTC sebanyak 2 kali, dan sempat juga bertemu dengan idola pengurusan kewangan saya iaitu penulis terkenal buku best seller Jutawan Dari Planet Jupiter! saudara Azizi Ali. Sempat jugalah bertanya dengan beliau beberapa soalan tentang pengurusan kewangan. Ternyata beliau seorang yang ramah dan mudah diajar berbual tetapi topik perbincangan tentulah berkisarkan tentang kewangan barulah mencabar!

Azizi Ali & SayaMelihat dari pemakaian saudara Azizi Ali jelas dirinya adalah seperti yang ditulis dalam bukunya, iaitu seorang yang hidup dibawah kemampuan sebenar. Sebagai seorang jutawan saya berpendapat tentulah dia harus selalu kelihatan mengenakan pakaian Versace atau Fred Lenzo tidak pun tentulah pakaian itu jenamanya gah di dalam arus fesyen terkini tetapi beliau sebaliknya, dia memakai jean biasa, bersama kemeja Polo yang boleh kita dapatkan apabila sales Jusco setiap 3 bulan. Jelas sekali menyatakan bahawa itulah Azizi Ali sebenar jutawan yang hidup dibawah kemampuan yang sebenar!

Dari perbualan antara kami berdua, beliau menceritakan beliau sendiri pernah kerugian hampir RM100,000.00 dalam perniagaan. Tetapi semenjak hari itu dia bertekad untuk belajar selok-belok pengurusan kewangan yang betul akhirnya dia menjadi seorang jutawan pada hari ini... walaupun niat pada awalnya adalah untuk sekadar belajar menguruskan kewangan sahaja. Katanya lagi, lakukan apa yang kita suka, minat, dan perkara yang kita gemari dan pastinya yang lain akan mengikutinya(yang lain itu termasuklah wang!) Saya juga sempat membeli buku tulisan keduanya berjudul Lahirnya Seorang Jutawan! Saya juga telah mengkhatamkan buku ini d:-) cukup menarik dan berbaloi untuk dimiliki.

Bulan Mac ini juga saya telah mengeluarkan bajet yang agak lebih sedikit untuk membeli 2 buah buku sekaligus. Buku pertama adalah buku tulisan Azizi Ali dan buku kedua ialah tulisan Adam Khoo seorang jutawan dari Singapura. Buku ini juga cukup menarik untuk dimiliki tetapi setakat hari ini saya masih tidak dapat menghabiskan buku setebal 499 halaman ini. Tetapi tips-tips yang ditulis di dalam buku cukup berguna untuk dijadikan panduan menjadi seorang jutawan selari dengan tajuk buku tersebut Bagaimana Saya Boleh Menjadi Jutawan.

Baik, mari kita lihat Empat Tahap Kekayaan yang dikelaskan oleh Adam Khoo:

Tahap 1: Kestabilan Kewangan
Anda dikatakan mencapai kestabilan kewangan apabila anda mengumpulkan aset bersih yang mencukupi bagi menyara kehidupan kita selama paling kurang enam bulan dan anda juga telah mempunyai insuran nyawa dan insuran kesihatan bagi melindungi diri dan keluarga terutamanya apabila berlaku kemalangan atau masalah kesihatan yang menyebabkan anda tidak mampu berkerja.

Tahap 2: Jaminan Kewangan
Anda dikatakan mencapai tahap ini apabila anda melabur masa, duit dan idea, serta mengumpul sejumlah Harta Aliran Tunai Positif(Deposit Tetap, BON, KWSP, Saham, Unit Amanah dan seumpamanya) yang dapat menghasilkan pendapatan pasif yang cukup bagi membiayai perbelanjaan yang PALING ASAS. Paling asas disini ialah anda dapat membayar pinjaman rumah, pembayaran bil-bil, perbelanjaan pengangkutan awam, makanan, pembayaran premium insuran dan dapat membayar faedah pinjaman yang telah anda buat hanya menggunakan semata-mata dari pendapat pasif anda.

Tahap 3: Kebebasan Kewangan
Anda pernah mendengar ungkapan ini, saya juga teruja setiap kali mendengarkan ungkapan ini. Anda dikatakan berada ditahap ini apabila anda melabur masa, duit dan idea, serta mengumpul sejumlah Harta Aliran Tunai Positif(Deposit Tetap, BON, KWSP, Saham, Unit Amanah dan seumpamanya) yang dapat menghasilkan pendapatan pasif yang mencukupi bagi membiayai cara hidup yang anda lalui sekarang. Pada tahap ini anda boleh memilih untuk berhenti bekerja tetapi masih boleh mengekalkan cara hidup anda sekarang bagi tempoh yang tidak terhad. Tetapi selalunya mereka yang berada di tahap ini tidak akan berhenti kerja sebaliknya mereka akan terus bekerja dan mencapai tahap seterusnya.

Tahap 4: Kekayaan yang Melimpah-ruah
Ini adalah tahap yang tertinggi sekali idaman semua orang. Anda dikatakan mencapai tahap ini apabila anda melabur masa, duit dan idea, serta mengumpul sejumlah Harta Aliran Tunai Positif(Deposit Tetap, BON, KWSP, Saham, Unit Amanah dan seumpamanya) yang dapat menghasilkan pendapatan pasif yang mencukupi bagi membiayai cara hidup yang anda idam-idamkan. Ukuran untuk tahap kekayaan ini ialah anda mempunyai kira-kira RM50,000.00 untuk dibelanjakan setiap bulan. Diulangi sekali lagi SETIAP BULAN!

Itulah serba sedikit tentang tahap-tahap kekayaan yang dikelaskan oleh Adam Khoo. Mengikut perkiraan anda, mana satu pilihan tahap kekayaan anda?! Bagi saya cukup la saya berusaha untuk berada di tahap 3. Anda?

Leave a Reply